Sunday 23 February 2014

Pengenalan Rukun Tetangga

Skim Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 sebagai satu langkah membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Skim ini kemudiannya diperbaharui dengan menekankan konsep kejiranan dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Pada masa kini peranan Skim Rukun Tetangga di perluaskan lagi dengan pendekatan pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan di dalam masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan.


Sehingga kini sebanyak 5580 Kawasan Rukun Tetangga telah ditubuhkan diseluruh negara. Jawatankuasa Rukun Tetangga ini telah menganjurkan berbagai aktiviti di dalam komuniti mereka. Aktiviti ini bertujuan untuk membolehkan penduduk setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan diperingkat akar umbi di antara pemimpin dengan rakyat dan di antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya.

Kini pertubuhan KRT telah dikemaskini dengan pengubalan AKTA krt baru iaitu Akta KRT tahun 2012 (Akta 751). Akta baru ini diperkenalkan dengan konsep, " MENGEKALKAN KESEPADUAN SOSIAL DAN KEHARMONIAN KOMUNITI" . Konsep baru ini lebih memberi penekanan kepada soal perpaduan dan keharmonian masyarakat dengan fungsi-fungsi berikut:
  1. Menjalankan apa-apa aktiviti bagi meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, muhibah, keharmonian, keselesaan, keamanan, kerjasama, keselamatan, kebajikan, kesihatan, kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup di kalangan anggota masyarakat.
  2. Menerima maklumat, memerhati dan menyiasat, semua isu mengenai konflik masyarakat di dalam Kawasan dan melaporkan maklumat, pemerhatian kepada Pengarah.
  3. Mengambil apa-apa langkah yang perlu atau wajar untuk membolehkan pemastautin melindungi diri mereka terhadap apa-apa aktiviti jenayah atau bencana.
  4. Menyediakan pengantaraan dalam masyarakat bagi maksud pendamai atau selainnya menyelesaikan apa-apa pertikaian atau perselisihan dikalangan anggota masyarakat.
  5. Menjalankan apa-apa fungsi atau tugas lain yang diarahkan oleh Ketua Pengarah dari masa ke semasa
Pengertian Logo Rukun Tetangga
Keseluruhan Logo ini melambangkan fungsi dan matlamat Rulun Tetangga kearah pembentukan Bangsa Malaysia berlamdaskan Rukun Negara.

  1. Bulatan Besar
    Bulatan besar pada logo ini memnggambarkan rakyat negara ini sentiasa bermuafakat dan bersatu-padu.
  2. Warna
    Warna-warna yang digunakan pada logo ini adalah seperti mana yang terdapat pada Jalur Gemilang

    Biru Bermuafakat dan bersatu padu
    Merah Keberanian dan keluhuran
    Kuning Kejayaan dan keharmonian
    Putih Kesucian dan bertanggunjawab

  3. 5 Bulatan Kecil Warna Merah
    Lima Bulatan berwarna merah yang terletak di bahagian atas logo ini membawa pengertian lima prinsip Rukun Negara dan rakyat Malaysian yang berbilang kaum. Mesej yang dibawa menerusi simbol ini ialah seluruh rakyat mendukung falsafah dan aspirasi Rukun Negra dengan semangat kental dan luhur serta mengamalkan dan menghayatinya pada setiap masa.
  4. 2 Bentuk Titisan Air Terbalik
    Di bawah bulatan pada logo ini terdapat 2 bentuk titisan air terbalik digambarkan seperi bentuk orang membawa maksud bahawa rakyat negara ini sentiasa bersungguh-sungguh berganding bahu bagi membentuk satu Bagsa Malaysia yang bersatu padu
  5. Garisan Berwarna Merah
    Dua garisan berwarna merah yang terdapat di kiri dan kanan logo ini membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia sedia menghadapi apa jua ancaman dan serangan dalam usaha membentuk perpaduan dan keharmonian sejagat yang akhirnya membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.
  6. Segi Tiga Berwarna Kuning
    Segi tiga berwarna kuning yang terdapat di bawah Logo ini membawa pengertian bahawa Rukun Negara merupakan panduan seluruh rakyat Malaysia dalam usaha membangunkan Malaysia dengan mengambil kira nilai-nilai murni yang diamalkan bersama.
  7. Garisan merah di atas garisan putih
    Barisan warga Rukun Tetangga (RT) yang gagah berani mempertahankan keamanan Negara daripada segala bentuk ancaman dengan rasa keikhlasan dan ketelusan yang tiada tolok bandingnya.
  8. Keseluruhan Garisan Berwarna Biru
    Keseluruhan garisan berwarna biru memberi maksud bahawa rakyat Malaysia menggunakan pelbagai cara yang difikirkan sesuai mengikut nilai-nilai murni yang amalkan bersama bagi tujuan membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu bagi menjamin pembangunan negara.

0 comments:

Post a Comment